Rumah tangga perlu dibina berasaskan kepada nilai-nilai murni yang cukup sempurna kerana rumahtangga yang sempurna dan bahagia akan mampu menjamin lahirnya suami, isteri, ibu bapa dan anak-anak yang berkualiti. Untuk itu seharusnya suami isteri membuat persediaan secukupnya berkenaan ilmu rumahtangga untuk diaplikasikan dalam kehidupan berkeluarga. Betapa tidak, rata-rata ibu bapa tidak begitu serius dalam mengendalikan urusan rumah tangga mereka. Cukuplah sekadar menyediakan makan pakai serta menguruskan persekolahan anak-anak tanpa mementingkan unsur kasih sayang dan merapatkan hubungan antara kesemua ahli keluarga. Kesannya berlakulah kes perceraian yang bukan sahaja melibatkan golongan muda bahkan yang sudah tua. Malah yang lebih menyedihkan, kerosakan rumah tangga ini menyebabkan pelbagai isu serius timbul seperti penderaan terhadap isteri, anak, sumbang mahram dan seumpamanya.
Mengawal Sikap
Kebijaksanaan suami isteri dalam mengendalikan rumah tangga adalah aspek yang paling penting dalam menjaga kerukunan sebuah keluarga kerana di antara unsur yang boleh mengganggu hubungan kasih sayang ialah kegagalan pihak suami atau isteri dalam menjaga rahsia rumahtangga di mana banyak sekali rumah tangga yang kucar-kacir disebabkan suami atau isteri yang bersikap suka menjaja dan menyebarkan rahsia pasangannya kepada orang lain.
Hakikat Rahsia
Hakikat rahsia rumahtangga yang dimaksudkan sebenarnya adalah terbahagi kepada beberapa bentuk yang perlu diketahui kedudukannya seperti:
1. Rahsia khusus: Rahsia-rahsia khusus adalah hal peribadi yang diminta secara khusus oleh suami atau isteri kepada pasangannya supaya dirahsiakan. Iamam al-Ghazali ada mencatatkan di dalam kitabnya
Mukasyafatu al-Qulub tentang beberapa tafsiran ulama mengenai perintah Allah kepada orang-orang mukmin supaya menjaga dan di mana antara amanah itu ialah
“satu perkataan atau ayat” yang diamanahkan supaya dijaga dan dirahsiakan. Maka wajib menjaga amanah tersebut. Begitu juga sesuatu yang dibisikkan kepada pasangan dengan permintaan supaya ia menjadi rahsia antara mereka berdua, maka ia tergolong dalam amanah yang wajib dijaga.
2. Rahsia Yang Menyentuh Keselamatan: Mungkin ada orang yang memusuhi pasangan kita berniat jahat dan hendak mengkhianati dan menganiayainya. Musuh itu mungkin menyamar dengan meminta daripada kita segala maklumat, latar belakang dan sebagainya. Dalam keadaan ini kita sebagai pasangannya harus cerdik dan bijaksana. Tersalah memberi maklumat kepada musuh sesungguhnya akan mengundang bahaya kerana sejarah ada mencatatkan tentang kisah isteri Sam’un al-Ghazi yang mendedahkan rahsia kekuatan suaminya kepada pihak musuh hingga menyebabkan nyawa suaminya terancam. Oleh itu janganlah terlalu jujur atau memberi segala maklumat sehingga mendedahkan “rahsia” keselamatan pasangan. Seboleh mungkin cubalah mengesan helah orang yang berniat jahat terhadap pasangan melalui tutur kata atau perilaku mereka.
3. Rahsia Harta Benda: Harta benda dan kewangan pasangan juga adalah rahsia yang wajib dijaga dan dipertahankan oleh isteri. Dalam hal ini, isteri terutamanya yang berfungsi sebagai pengurus rumah tangga tentulah orang yang paling berperanan dalam menjaga rahsia rumah tangga yang dibina kerana Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik isteri adalah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila suami melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan ia dapat menjaga kehormatan dirinya dan harta bendamu ketika engkau tiada di rumah.” (at-Thabrani)
Dalam konteks ini, rumah tangga dan segala isinya adalah dikatakan “harta” dan benteng rahsia keluarga. Adalah menjadi tanggungjawb suami isteri menjaganya dengan sebaik-baiknya. Sehubungan itu, Islam melarang keras orang yang mencuri-curi pandang ke dalam rumah orang lain tanpa mendapatkan keizinan daripada tuan rumah. Sabda Rasulullah s.a.w. :
“Jika ada orang yang menjengok-jengok rumahmu tanpa izin, lalu engkau melontarkan batu kepadanya sehingga pecah matanya, tidaklah engkau berdosa.” (Bukhari dan Muslim)
4. Rahsia Bilik Tidur: Inilah rahsia yang paling utama dan benteng terakhir rahsia rumah tangga di mana rahsia yang berkaitan hubungan kelamin suami isteri ini hendaklah disembunyikan dan hanya menjadi rahsia antara pasangan kerana adalah haram dan berdosa hukumnya sekiranya salah seorang dari pasangan menghebahkan hubungan mereka kepada pengetahuan, pendengaran dan penglihatan orang lain meskipun anak-anak sendiri. Itulah sebabnya mengapa Islam mensyariatkan agar dipisahkan tempat tidur anak-anak sejak mereka berusia tujuh tahun serta mengajarkan kepada mereka supaya memberi salam dan meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk ke bilik ibu bapa mereka terutamanya pada tiga masa seperti yang disebut di dalam al-Quran iaitu sebelum Subuh, sekitar waktu Zuhur dan selepas Isyak kerana pada waktu waktu ini kemungkinan suami isteri sedang bersama atau pun mereka sedang berehat, bersantai atau tidur.
5. Rahsia Berhubung Soal Maruah: Maruah melibatkan aurat, aib dan kelemahan seseorang. Firman Allah S.W.T. yang maksudnya:
“Adapun wanita wanita yang solehah itu ialah wanita-wanita yang patuh (taat) dan memelihara kehormatan dirinya semasa ketiadaan suaminya sebagaimana Allah telah memelihara mereka.” (An-Nisa: 34)
Dalam hal ini banyak perkara boleh berlaku sekiranya pasangan gagal menjaga maruah dirinya seperti:
i. Isteri atau suami berlaku curang terhadap pasangannya.
ii. Pasangan mencari hiburan di luar rumah.
iii. Pasangan menduakan suami atau isteri.
iv. Pasangan menceritakan rahsia rumah tangganya kepada orang lain.
6. Rahsia Berhubung Nafkah: Dalam hal ini suami adalah wajib hukumnya untuk memberi nafkah atau perbelanjaan untuk isteri dan anak-anaknya. Pemberian ini adalah mengikut kemampuan, tidak sampai dilabelkan sebagai suami yang bakhil dan kedekut atau pun suami yang terlalu boros dan bermewah-mewah. Pokok pangkalnya seseorang itu wajib memberikan nafkah menurut kemampuannya. Oleh itu permasalahan sara hidup hendaklah dibincangkan sebaiknya dengan pasangan agar tidak menganiayai diri sendiri, isteri mahu pun anak-anak. Malah elakkan daripada menjadi topik perbualan atau pun umpatan orang lain lantaran kegagalan kita menyimpan rahsia tersebut.
Jika Sudah Terpaksa
Sikap saling memahami dan berlapang dada (sabar) adalah yang paling utama mesti ada di dalam jiwa setiap individu yang menjadi suami atau isteri. Tidak seharusnya mana-mana pihak, suami atau isteri bertindak meluahkan perasaan dan menceritakan rahsia pasangan kepada orang luar sebelum cuba menyelesaikan masalah itu dengan jalan perbincangan melainkan tidak ditemui jalan penyelesaian lain sehingga rahsia rumah tangga terpaksa diluahkan kepada pihak ketiga.
Contohnya sebagaimana peristiwa yang telah berlaku di zaman Rasulullah SAW di mana seorang wania mengadu kepada baginda bahawa dia telah dipukul oleh suaminya. Pada awalnya, Rasulullah memutuskan bahawa suaminya boleh dikenakan qisas (pukul dibalas pukul), tetapi pada ketika itu juga telah turun wahyu yang membolehkan suami memukul isterinya dalam keadaan tertentu iaitu dengan tujuan mendidik (bukan memukul untuk menyakitkan atau memukul kerana geram). Secara tidak langsung, wanita tadi telah membocorkan rahsia rumah tangganya dengan menceritakan keburukan suaminya kepada pihak ketiga iaitu Rasulullah s.a.w.
Maka dalam kes seumpama ini, tidak menjadi kesalahan bagi isteri (atau suami) untuk membuka rahsia rumah tangganya kerana ia dibuat demi kepentingan atau kebaikan rumah tangga itu sendiri. Iaitu apabila timbul masalah dalam hubungan suami isteri yang tidak dapat diselesaikan melalui perbincangan bersama, dan pihak suami atau isteri merasakan bahawa dia sudah tidak mampu menghadapinya, maka satu jalan penyelesaian perlu diambil dengan melibatkan ‘orang luar’, dengan kata lain, rahsia rumah tangga terpaksa dibuka ke pengetahuan seseorang. Maka beberapa perkara harus diambil kira iaitu:
i) Merujuk Kepada Orang Yang SesuaiAndainya sudah bulat tekad untuk membawa soal dalaman rumah tangga kepada orang lain, maka haruslah dirujuk kepada orang yang tepat kerana bukan sebarangan orang boleh menjadi tempat mengadu masalah apalagi jikalau ia melibatkan perkara sulit. Maka pastikanlah bahawa orang yang diadu itu adalah orang yang amanah, boleh dipercayai, memiliki sifat adil mudah dipengaruhi emosi, tenang dan berwatak pendamai. Jika tidak, dia mungkin menjadi penghasut dan pengusut masalah. Tidak kira sama ada ia merupakan teman rapat atau pun seorang kaunselor yang berpengalaman, yang penting di boleh membantu dalam memberi pandangan dan nasihat, atau menjadi orang tengah dalam membetulkan hubungan dua hala antara suami isteri yang tergendala.
ii) Membuka Rahsia yang sesuaiKita harus ingat bahawa orang yang diadu itu tetap merupakan ‘orang luar’ dalam konteks sesebuah rumah tangga. Oleh itu apa jua rahsia yang mahu diceritakan kepadanya harus dibataskan kepada hal-hal yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi sahaja. Tidak lebih daripada itu. Jangankan disebabkan pengaruh emosi, kita membuka segala rahsia pasangan.
iii) Merujuk kepada Hakam “Hakam” adalah wakil daripada kedua-dua pihak suami dan isteri di mana pihak lelaki diwakili seorang hakam, begitu juga dengan pihak wanita. Adakalanya mahkamah sendiri yang akan melantik hakam tersebut di mana kedua-dua hakam ini berfungsi sebagai pendamai untuk membantu menyelesaikan kes yang dihadapi. Hal ini disebutkan melalui firman Allah SWT yang maksudnya:
“Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara kedua-duanya (suami isteri), maka kirimlah seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga perempuan.” (An-Nisa’: 35)
Kedua-dua hakam ini akan melakukan ‘soal selidik’ ke atas suami atau isteri dalam sesi berasingan, untuk mengetahui punca dan kedudukan masalah. Di sinilah pentingnya peranan hakam yang dipilih itu yang mesti memiliki sifat sebagai orang yang boleh dipercayai, bijaksana dan adil, boleh menyimpan rahsia, bijak bertindak dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Dalam hal ini, suami mahupun isteri harus memberi kepercayaan kepada hakam di mana sedikit sebanyak rahsia rumah tangga mereka terpaksa diluahkan. Kemudian kedua-dua hakam ini akan bertemu untuk mencari penyelesaian. Andainya didapati tidak ada lagi titik temu antara kedua-dua suami isteri, kedua-dua hakam harus sepakat untuk membuat keputusan memisahkan mereka dengan cara baik di mana ia perlu dirujuk kepada mahkamah.
iv) Merujuk kepada mahkamahIni merupakan peringkat terakhir di mana jalan penyelesaian melalui perbincangan dan melalui kaunselor atau orang tengah “hakam” tidak lagi membuka sebarang harapan untuk perdamaian. Di sini mahkamah boleh membuat keputusan ke atas masa depan rumah tangga tersebut di mana rahsia rumah tangga terbabit terpaksa disingkap di hadapan hakim atau mahkamah.
Mengambil Iktibar:
Teladanilah kisah-kisah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. seperti kebijaksanaan saiditina Khadijah r.a. dalam menjaga rahsia kerasulan Rasulullah iaitu selepas menerima wahyu pertama di Gua Hira’ di mana beliau telah bertindak bijak dengan menceritakan peristiwa itu hanya kepada orang tertentu untuk mendapatkan pandangan dan tidak merujuk kepada sebarangan orang tetapi memilih orang yang telah dikenal pasti layak menjadi tempat rujuk dan boleh menyimpan rahsia. Orang itu adalah sepupunya sendiri, Waraqah bin Naufal, seorang alim yang masih berpegang pada ajaran tauhid. Rahsia ini disimpan kemas sehinggalah Rasulullah s.a.w. sendiri menerima perintah untuk pergi ke tengah masyarakat menyampaikan amanah wahyu yang diterimanya.
Kesimpulannya, biar apa pun masalah yang dihadapi termasuklah hal rumah tangga, selaku seorang Islam hendaklah kita sentiasa mengingati Allah dan memohon bantuan daripadanya. Kerjakanlah solat istikharah dan solat hajat sebelum membuat apa jua keputusan agar diberi hidayah dan kekuatan. Di samping itu ambillah iktibar daripada hitam putih kehidupan masyarakat sekeliling kita. Bak kata pepatah
“Yang baik, jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.